ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Pelancaran rasmi BidMyAsset Borneo di Kuching dilihat membuka peluang untuk memulihkan nilai aset industri yang tidak lagi digunakan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Pengarah BidMyAsset Borneo Sdn. Bhd., Amirul Annuar berkata, platform berkenaan membantu pemilik aset mendapatkan semula nilai daripada aset industri yang tidak lagi diperlukan untuk dimanfaatkan semula sebagai modal perniagaan.
“Kami menilai aset tersebut, mengkaji pasaran, mengenal pasti strategi pelupusan yang sesuai, memasarkannya kepada pembeli yang tepat, menguruskan pilihan dan transaksi dan apabila diperlukan, menyelaras kerja-kerja membuka, membungkus serta penghantaran.
“Kami membantu syarikat mengambil apa yang tidak lagi mereka perlukan dan menukarkannya kepada modal untuk langkah seterusnya, selari dengan hala tuju Sarawak pada masa ini iaitu PCDS 2030 yang menekankan penggunaan aset sedia ada dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi BidMyAsset Borneo di The Waterfront Hotel, Kuching, yang dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, hari ini.
Menurut Amirul, model perniagaan BidMyAsset Borneo turut menyokong agenda ekonomi kitaran Sarawak dan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) menerusi pengoptimuman penggunaan aset sedia ada.
Beliau berkata, Sarawak merupakan lokasi strategik bagi pengembangan BidMyAsset Borneo berikutan transformasi yang sedang berlaku dalam sektor minyak dan gas, pembuatan serta pelbagai industri lain.
Katanya, perkembangan berkenaan mewujudkan peluang kepada syarikat untuk mendapatkan semula nilai daripada aset yang tidak lagi diperlukan dan melaburkannya semula bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta ekonomi negeri.
“Jadi kepada setiap pemilik perniagaan dan pengurus aset, sebelum anda melupuskan aset lama sebagai kerugian atau menganggapnya sebagai besi buruk, datang berbincang dengan kami terlebih dahulu.
“Nilainya mungkin lebih tinggi daripada yang anda sangka,” ujarnya lagi.
BidMyAsset kini beroperasi di Malaysia, Thailand, India dan Vietnam, dengan rangkaian pembeli merangkumi pelbagai industri serta pasaran di Asia Tenggara.
Pelancaran BidMyAsset Borneo di Kuching menandakan pengembangan platform berkenaan ke Malaysia Timur, sekali gus membawa rangkaian pembeli serantau lebih dekat kepada pemilik aset industri di Sarawak. -TVS

10 hours ago
8








English (US) ·