ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Borneo Jazz Festival tampil dengan konsep baharu menerusi tema ‘Beyond Jazz’ sempena edisi ke-20 pada 4 dan 5 Disember ini, dengan bandar raya Miri dipilih sebagai lokasi penganjuran buat julung kali.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata edisi kali ini membuka lembaran baharu kepada festival berkenaan dengan pengisian yang tidak lagi terhad kepada persembahan muzik.
“Borneo Jazz menghimpunkan pemuzik, komuniti dan penonton dari Sarawak, Sabah, Brunei serta Indonesia, sekali gus memperkukuh hubungan antara negara jiran menerusi muzik dan budaya.
“Festival ini turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati kepelbagaian bunyi, kisah dan ekspresi kreatif dari rantau Borneo, di samping mengekalkan penglibatan artis antarabangsa serta mengangkat Borneo Jazz sebagai platform muzik yang mempunyai jangkauan lebih luas,” katanya pada majlis pelancaran Borneo Jazz Festival 2026 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, persembahan utama yang berlangsung di Pullman Miri Waterfront turut dilengkapi Borneo Jazz Festival Village, iaitu ruang terbuka percuma yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Katanya, festival itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk makanan dan minuman, seni dan kraf, aktiviti keluarga serta persembahan langsung, selain penyertaan Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia menerusi All Borneo Pavilion.
“Festival ini turut memperkukuh pembangunan bakat menerusi kerjasama dengan Berklee Asia Rising melalui bengkel, kelas induk dan sesi kolaborasi, selain menganjurkan Borneo Jazz Fun Run sejauh lima kilometer pada 5 Disember,” katanya.
Tiket Borneo Jazz Festival 2026 akan mula dijual pada tengah malam 3 Oktober ini menerusi laman sesawang rasmi Jazzborneo.com.
Abdul Karim berkata, penganjuran edisi ke-20 itu dijangka turut merancakkan aktiviti perniagaan dan pelancongan di Miri.
“Borneo Jazz bukan sekadar festival yang lebih besar, sebaliknya membawa pengisian lebih bermakna dengan mengangkat bakat kreatif dan budaya Borneo, selain memberi manfaat kepada sektor pelancongan, komuniti serta ekonomi tempatan,” katanya.

11 hours ago
9








English (US) ·