ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Dua wanita dewasa cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira empat meter di Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, kemalangan kendiri berkenaan berlaku di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.
“Setibanya pasukan bomba, didapati sebuah kenderaan terjunam ke dalam parit dan terdapat dua mangsa wanita dewasa.
“Kedua-dua mangsa tidak tersepit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum menerima bantuan pasukan penyelamat,” kata kenyataan itu.
Seorang mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan EMRS bomba, manakala seorang lagi dihantar dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi dikawal pada jam 5.10 pagi dan ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Operasi diketuai PBK I Mohamad Ismail Zulkipli dengan kekuatan enam anggota menggunakan sebuah FRT dan sebuah EMRS, serta dibantu tiga anggota KKM.-TVS

1 day ago
11








English (US) ·