Hari Malaysia wadah hayati sejarah, hak Sabah dan Sarawak

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sept: Hari Malaysia perlu dijadikan kesempatan untuk seluruh rakyat menghayati semula sejarah pembentukan Malaysia serta memahami hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, 16 September bukan sekadar tarikh cuti umum, sebaliknya hari memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Katanya, Hari Malaysia yang mula diraikan sebagai cuti umum pada 2010 perlu menjadi ruang untuk rakyat bukan sahaja di Sarawak, tetapi seluruh Malaysia, merenung semula makna sebuah negara yang dibentuk menerusi Persekutuan.

“Pada 16 September setiap tahun, sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya rakyat Sarawak, merenung kembali tentang persekutuan kita,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2026.

Dr Sim berkata, pemahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga penting bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak serta tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terus diberi perhatian.

Menurutnya, MA63 yang kini termaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa dijadikan rujukan dalam memahami kedudukan kedua-dua negeri berkenaan dalam pembentukan Malaysia.

“Sekarang ia secara rasmi berada dalam Perlembagaan, kita mesti sentiasa melihat kepada hak Sabah dan Sarawak, serta tanggungjawab Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Hari Malaysia seharusnya mempunyai pengisian yang lebih bermakna dengan rakyat memahami tujuan, misi dan visi negara, bukannya sekadar menikmati cuti umum.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata Sarawak kini dilihat sebagai antara negeri yang mempunyai potensi untuk menyumbang kepada hala tuju baharu Malaysia, susulan peningkatan harapan dan keyakinan terhadap negeri itu.

Katanya, perkembangan tersebut perlu disambut menerusi semangat kebersamaan bagi membentuk masa depan Malaysia secara bersama.

“Marilah kita bersama-sama meraikan Hari Malaysia dengan tujuan, dengan misi dan dengan visi,” katanya.

Read Entire Article