ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan wajar diadakan secara bergilir-gilir di setiap negeri di seluruh Malaysia pada masa hadapan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pendekatan itu penting bagi membolehkan sambutan Hari Malaysia dihayati dengan lebih menyeluruh oleh rakyat di setiap negeri.
“Sejarah serta latar belakang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga wajar diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengisian utama sambutan bagi memberikan kefahaman yang lebih menyeluruh kepada masyarakat di seluruh pelosok negara mengenai sejarah pembentukan Malaysia.
“Beliau percaya pendekatan tersebut mampu menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah negara, sekali gus memupuk semangat perpaduan nasional yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri mahupun wilayah,” menurutnya memetik kenyataan Astana Sarawak menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berharap semangat serta prinsip yang terkandung dalam MA63 terus dihormati dan diterjemahkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.
Katanya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan pembangunan yang seimbang, kemakmuran yang inklusif serta kesejahteraan seluruh rakyat terus diperkukuh.
“Hari Malaysia bukan sekadar suatu catatan sejarah, malah merupakan peringatan kepada seluruh rakyat mengenai semangat persefahaman, perkongsian tanggungjawab dan sikap saling menghormati yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963,” menurut kenyataan itu lagi.
Oleh itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan aspirasi agar Hari Malaysia terus dihayati sebagai lambang penyatuan wilayah-wilayah yang membentuk Malaysia serta menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang berdaulat, aman, stabil dan makmur.
Aspirasi itu dizahirkan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Majlis bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. – TVS

1 hour ago
6








English (US) ·