ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini mempunyai kemudahan stor rampasan baharu di Kuching bernilai RM9.98 juta bagi memastikan barangan rampasan disimpan dengan lebih selamat, sistematik dan terkawal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan stor berkenaan merupakan pelaburan strategik Kerajaan MADANI dalam menyokong operasi penguatkuasaan JKDM.
Menurutnya, peningkatan kejayaan operasi penguatkuasaan turut menyumbang kepada pertambahan jumlah barangan tahanan dan rampasan yang perlu diuruskan, sekali gus memerlukan kemudahan penyimpanan yang bersesuaian.
“Dengan tersedianya kemudahan milik Kerajaan ini, kebergantungan kepada premis sewaan dapat dikurangkan, sekali gus membantu mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata stor berkenaan bukan sekadar menyediakan ruang penyimpanan, malah dilengkapi kemudahan khusus termasuk bilik kebal bagi menempatkan barangan tertentu yang dirampas pihak Kastam.
“Stor ini penting, bukan stor biasa. Stor ini digunakan untuk menyimpan barangan rampasan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata kemudahan baharu itu membolehkan barangan rampasan disusun dengan lebih sistematik serta ditempatkan mengikut keperluan penyimpanan masing-masing.
Majlis berkenaan turut menyaksikan upacara menandatangani dokumen penyerahan projek antara kontraktor dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil Kementerian Kewangan selaku pelanggan projek.
Ia turut disusuli simbolik penyerahan replika kunci bangunan stor kepada pihak berkaitan.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri serta pegawai kanan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, JKR dan JKDM. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·