Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

52 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

SANDAKAN, 18 Sept: Kerajaan Persekutuan diharap meneruskan inisiatif Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasa kegiatan ekonomi masyarakat luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada kepimpinan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan pada 2024 itu kini memberi manfaat kepada ribuan peniaga kecil di tamu-tamu seluruh Sabah dan Sarawak.

“Hari ini, mewakili rakyat dan kerajaan negeri Sabah, saya berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi khususnya, serta Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan amnya, dapat meneruskan inisiatif premis Tamu Desa ini dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan premis Tamu Desa Kampung Kitagas di Ulu Dusun, Sandakan, yang dibina menerusi peruntukan KUSKOP sebanyak RM200,000 di sini, hari ini.

Ewon berkata, tamu mingguan merupakan sebahagian daripada kegiatan ekonomi masyarakat luar bandar, dengan sebahagian besar daripada kira-kira 3,000 kampung di Sabah dipercayai mempunyai tamu masing-masing.

Lebih 100 Tamu Desa telah dibina atau dinaik taraf di Sabah, sekali gus menyediakan persekitaran lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung ketika hujan atau cuaca panas.

Kemudahan itu turut boleh digunakan untuk mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia, TEMAN TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju, selain program kerajaan serta acara kemasyarakatan.

Dalam perkembangan sama, Ewon bersetuju menyalurkan tambahan RM200,000 menerusi peruntukan khas menterinya pada tahun depan bagi menambah baik kemudahan Tamu Desa Kampung Kitagas. – TVS

Read Entire Article