ADVERTISE HERE
SARATOK, 19 Sept: Seni tenun Kebat berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu kepada komuniti tempatan, selain membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata usaha memperkasa kemahiran tenunan itu perlu dilaksanakan secara lebih serius dan berskala besar kerana hasilnya berpotensi menjadi sumber pendapatan utama peserta.
Katanya, penggunaan platform digital turut memberi peluang kepada penenun tempatan memasarkan produk ke pasaran luar negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada jualan secara fizikal.
“Saya minta kita melaksanakan usaha ini secara besar-besaran dan serius kerana ia boleh menjadi pendapatan utama.
“Kita juga perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memasarkan dan menjual produk tenunan ini.
“Baju burung Iban kita sudah menembusi pasaran antarabangsa. Jadi, jangan takut dan khuatir walaupun tidak tahu di mana hendak menjualnya kerana sekarang kita boleh berniaga secara dalam talian melalui platform digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Tenun Kebat Sesi 1/2026, di sini, hari ini.
Program itu digerakkan Serakup Dayak National Union (SDNU) dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Saratok menerusi Kelas Tenunan Kebat Sesi 1/2026, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran menenun dan keusahawanan tekstil.
Seramai 37 peserta berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil tamat belajar.
Friday turut berharap peserta terus mengembangkan kemahiran yang diperoleh serta berkongsi ilmu berkenaan dengan masyarakat di rumah panjang masing-masing.
Program berkenaan dijangka diteruskan bagi memperluas penyertaan masyarakat luar bandar dalam bidang keusahawanan tekstil, sekali gus mengembangkan potensi seni tenun Kebat sebagai produk ekonomi kreatif tempatan.

1 hour ago
6








English (US) ·