Teknologi hubungkan guru pakar Matematik, Sains dengan pelajar seluruh Sarawak

57 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

SIBU, 18 Sept: Teknologi digital berpotensi menghubungkan guru pakar Matematik dan Sains dengan pelajar di sekolah lain di seluruh Sarawak menerusi konsep master classroom yang sedang diterokai.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata pendekatan itu dapat membantu sekolah yang mempunyai guru Matematik atau Sains, tetapi kekurangan guru beropsyen khusus dalam mata pelajaran berkenaan.

Beliau berkata, menerusi konsep itu, guru berpengalaman di sesebuah sekolah boleh mengajar murid di sekolah lain secara dalam talian, sekali gus membolehkan kepakaran guru dimanfaatkan dengan lebih meluas.

“Sebagai contoh, ada 10 sekolah yang tidak mempunyai guru Matematik. Mereka mempunyai guru Matematik, tetapi bukan guru opsyen Matematik.

“Kita boleh menghubungkan guru yang boleh mengajar Matematik di salah sebuah sekolah dengan murid di bahagian lain Sarawak supaya mereka boleh berinteraksi,” katanya ketika berucap pada majlis The Commemoration of Sibu Digital Innovation Hub Expansion di sini, hari ini.

Dr Annuar berkata, beliau sudah menghubungi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi meneroka penggunaan konsep berkenaan, manakala Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mengambil tanggungjawab untuk meneliti pelaksanaannya di Sarawak.

Katanya, kerjasama SDEC, Sibu Digital Innovation Hub (DIH) dan UTS penting dalam meneroka penggunaan teknologi digital bagi menyokong penyampaian pendidikan, khususnya dalam bidang Matematik dan Sains.

“Usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tetapi juga memastikan kandungan dan pengetahuan dalam Matematik serta Sains dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada murid di seluruh Sarawak.

“Saya fikir ini penting supaya kesaksamaan dapat diwujudkan dan semua orang mendapat kualiti pendidikan yang sama di seluruh Sarawak,” katanya.

Read Entire Article