ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Kepelbagaian wilayah, bangsa, budaya dan agama bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat sebagai sebuah keluarga Malaysia, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, semangat muafakat, saling menghormati dan kerjasama perlu terus diperkukuh bagi memastikan keamanan serta kestabilan negara kekal terpelihara.
“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan Malaysia dan menyatukan kita sebagai sebuah keluarga,” katanya menerusi rakaman ucapan yang ditayangkan pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ mencerminkan komitmen untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, selain memastikan kemakmuran dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat dan wilayah.
Mengambil Sabah sebagai contoh, Hajiji berkata, keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama, tradisi dan budaya perlu terus dipertahankan supaya setiap lapisan rakyat dapat bergerak bersama menikmati kemajuan.
“Kita akan terus menjaga keamanan ini dan menjadikan Hari Malaysia sebagai titik tolak untuk bekerja lebih kuat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat menyambut Hari Malaysia dengan semangat patriotisme tinggi, di samping memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara demi membawa Malaysia termasuk Sabah, ke arah kemajuan dan kemakmuran berterusan.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·