ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept: Larian Obor Sukan SEA Malaysia 2027 dari Limbang ke Kuching akan menjadi antara inisiatif utama untuk membawa semangat temasya berprestij itu lebih dekat kepada masyarakat di seluruh Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, larian obor itu dirancang berdasarkan pengalaman penganjuran SUKMA Sarawak XXI, sekali gus memberi peluang kepada rakyat merasai bahang Sukan SEA lebih awal.
Menurutnya, larian obor bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi lambang perpaduan, kebanggaan dan rasa memiliki bersama terhadap penganjuran Sukan SEA 2027.
“Larian obor ini akan menghubungkan komuniti di seluruh Sarawak ketika kita menuju September 2027, selain memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat secara langsung dalam perjalanan menuju Sukan SEA,” katanya pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 di sini, malam tadi.
Beliau berkata, inisiatif itu juga dijangka meningkatkan kesedaran, keterujaan dan semangat penyertaan masyarakat sebelum temasya bermula.
“Kita mahu semangat Sukan SEA bukan sahaja dirasai di venue pertandingan di Kuching, tetapi di seluruh Sarawak, dari wilayah utara hingga ke ibu negeri,” katanya.
Pada 2027, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA dengan Sarawak menjadi salah satu kluster penganjuran bersama Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Bagi Sarawak, penganjuran itu bukan sekadar temasya sukan, malah menjadi peluang memperkenalkan negeri ini kepada atlet, pegawai dan pengunjung dari seluruh Asia Tenggara dari segi kepelbagaian masyarakat, budaya, kemudahan sukan serta hospitaliti.
Sarawak dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 18 jenis sukan yang melibatkan 281 daripada keseluruhan 480 acara dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.
Menurut Chang Kee, dengan berbaki setahun sebelum temasya berlangsung, persiapan kini memasuki fasa penting yang memerlukan penyelarasan dan kerjasama erat semua pihak.
Katanya, jawatankuasa penganjur kini disokong 22 jawatankuasa kerja bagi memastikan kelancaran penganjuran.
“Masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam tempoh setahun akan datang. Kejayaan penganjuran memerlukan penyelarasan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan, persatuan sukan, pegawai teknikal, sukarelawan serta rakan strategik.
“Saya yakin dengan komitmen, pengalaman dan semangat kerja berpasukan semua pihak, Sarawak akan bersedia menyambut komuniti sukan serantau pada 2027,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha yang diberikan setakat ini.
Menurutnya, semua pihak perlu bergerak dengan satu matlamat bersama bagi memastikan Sukan SEA 2027 menjadi temasya yang berjaya dan meninggalkan kenangan bermakna kepada Sarawak, Malaysia serta seluruh rantau Asia Tenggara. – TVS

55 minutes ago
4








English (US) ·