Perubatan nuklear komponen penting perubatan moden

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 19 Sept: Perubatan nuklear merupakan komponen penting dalam perubatan moden, khususnya dalam membantu proses diagnosis dan menilai prognosis pesakit.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, peranan bidang itu masih kurang diketahui masyarakat kerana kebanyakan petugas perubatan nuklear bekerja di sebalik tabir.

“Perubatan nuklear sebenarnya merupakan komponen yang sangat penting dalam bidang perubatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Persidangan Kebangsaan Perubatan Nuklear 2026 di sini, malam tadi.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kemajuan teknologi seperti PET-CT dan pengimejan molekul turut memperluas peranan perubatan nuklear dalam amalan klinikal.

Namun katanya, pemilihan teknologi dan peralatan perubatan perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar penduduk tempatan, keutamaan klinikal serta impaknya terhadap pesakit.

Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian ilmu dan pengalaman antara pakar tempatan serta antarabangsa bagi membantu pengamal perubatan menentukan teknologi yang sesuai dan perlu diberi keutamaan.

Menurutnya, Sarawak masih berdepan cabaran kerana belum mempunyai siklotron, menyebabkan sebahagian isotop radioaktif perlu dibawa masuk dari luar dalam tempoh terhad berikutan proses pereputan radioaktif.

Walaupun berdepan kekangan berkenaan, beliau memuji pasukan perubatan nuklear di Sarawak yang terus memberikan perkhidmatan diperlukan.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan RM500 juta bagi peralatan untuk Pusat Kanser Sarawak yang dalam perancangan.

Beliau menegaskan, pengguna akhir termasuk pakar dan petugas perubatan perlu terlibat dalam menentukan peralatan yang akan diperoleh kerana mereka lebih memahami keperluan klinikal.

“Salah satu sebab Kerajaan Sarawak mahu mengendalikan urusan peralatan itu adalah untuk membolehkan semua pengguna akhir membuat keputusan dan bukannya keputusan dibuat di Kuala Lumpur.

“Pada akhirnya, pengguna akhir yang akan menggunakan peralatan berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau meminta pakar perubatan nuklear menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti peralatan yang benar-benar diperlukan.

Dr Sim berkata, RM500 juta itu merupakan peruntukan awal dan keperluan tambahan boleh dibincangkan dengan Premier Sarawak sekiranya disokong kajian serta keperluan klinikal.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perkhidmatan bertaraf dunia bukan hanya bergantung kepada peralatan dan pengetahuan, sebaliknya memerlukan tenaga pakar, nilai profesional, penyelidikan, kerjasama serta pembangunan modal insan.

Read Entire Article