ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept: Penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak, khususnya menerusi pembangunan infrastruktur dan bakat sukan, selain mengukuhkan sektor ekonomi serta pelancongan negeri.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee, berkata penganjuran temasya itu bukan sekadar tertumpu kepada pertandingan, sebaliknya membuka pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan Sarawak dalam jangka panjang.
Beliau berkata, antara manfaat utama ialah peningkatan dan penambahbaikan kemudahan serta infrastruktur sukan yang boleh terus digunakan selepas temasya, termasuk bagi penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, Sukan SEA turut menjadi platform untuk meningkatkan pengalaman dan pembangunan bakat membabitkan atlet, jurulatih, sukarelawan, persatuan sukan serta jawatankuasa penganjur tempatan dalam mengendalikan kejohanan berskala besar.
“Penganjuran ini bukan hanya mengenai pertandingan, tetapi turut membuka ruang untuk kita memanfaatkan pelbagai peluang yang terhasil sepanjang tempoh penganjuran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 di sini, malam tadi.
Dari aspek ekonomi, beliau berkata, kehadiran lebih 20,000 pengunjung termasuk atlet, pegawai teknikal, jurulatih, keluarga dan peminat sukan dijangka memberi limpahan kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan serta pelancongan tempatan.
Pada masa sama, katanya, penganjuran Sukan SEA menjadi platform untuk memperkenalkan Sarawak dengan lebih meluas kepada masyarakat ASEAN menerusi keunikan budaya, kepelbagaian masyarakat dan keramahan rakyat negeri ini.
Beliau berkata, temasya itu juga berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia selain mengeratkan hubungan antara negara ASEAN.
Sehubungan itu, Datu Hii menyeru rakyat Sarawak supaya melihat Sukan SEA 2027 sebagai temasya milik bersama dan mengambil peluang berkenaan untuk menyumbang kepada kejayaan penganjurannya.
Beliau turut menyeru atlet negara, termasuk dari Sarawak yang terpilih mewakili kontinjen Malaysia, supaya memanfaatkan tempoh setahun yang ada untuk membuat persiapan sebaik mungkin.
Katanya, Sukan SEA 2027 memberi peluang kepada atlet negara beraksi di hadapan keluarga, rakan-rakan serta penyokong dari seluruh ASEAN.
“Ini peluang untuk kita mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

1 hour ago
5








English (US) ·