ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Seorang lelaki berusia 57 tahun cedera selepas kakinya tersepit pada bahagian roda berantai sebuah jengkaut dalam kejadian di Batu Lintang, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa tersepit pada bahagian roda berantai jentera jengkaut yang digunakan di tapak berkenaan.
“Operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan sebuah kren dan sebuah lagi jentera jengkaut bagi mengalihkan jentera serta mengeluarkan mangsa ke tempat selamat,” menurut kenyataan itu.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diserahkan kepada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Operasi dikawal pada jam 8.32 pagi dan ditamatkan 10 minit kemudian.
Seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi yang diketuai PBK I Kana Tawi, dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.-TVS

1 hour ago
5







English (US) ·