Pengawal keselamatan maut, motosikal ditunggang dilanggar SUV

55 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

PADAWAN, 18 Sept: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kenderaan SUV dalam kemalangan di P-Turn Jalan Batu Kawa-Bau, berhampiran Taman Perumahan Vision Height 3, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa, Nady Incheh, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kedua-dua kaki dan bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry Wiliam berkata, kemalangan tersebut membabitkan SUV yang dipandu lelaki warga emas berusia 63 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 45 tahun serta motosikal ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati SUV berkenaan sedang bergerak lurus di lorong tengah dari arah Batu Kawa menghala ke Lundu.

“Apabila tiba di lokasi, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang berada di lorong paling kanan menuju ke P-Turn,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran, mangsa tercampak ke atas pembahagi jalan, manakala kedua-dua kenderaan terus bergerak sebelum melanggar penghadang jalan di pembahagi tengah dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua-dua kaki dan bahagian muka disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 11.26 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pemandu dan penumpang SUV itu tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-TVS

Read Entire Article