ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Rakyat Sarawak daripada pelbagai kaum diseru terus menghargai kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat serta tidak membiarkan perbezaan pandangan menjadi punca perpecahan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata perbezaan pandangan dan pendirian adalah perkara biasa dalam masyarakat demokratik, namun ia tidak seharusnya membawa kepada permusuhan atau perpecahan.
“Sarawak adalah rumah bersama bagi seluruh penduduknya tanpa mengira kaum, bahasa atau latar belakang budaya, dengan setiap individu yang menetap di negeri ini menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, yang mewakilinya pada Kuching Intercultural Mooncake Festival 2026, di sini, malam tadi.
Dr Sim berkata, rakyat perlu bersama-sama memelihara kepelbagaian budaya, memperkukuh keharmonian komuniti dan menyokong pembangunan negeri, selain mempertahankan hak serta autonomi Sarawak yang sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat supaya kekal rasional dan tenang dalam menghadapi perkembangan teknologi maklumat yang pesat serta tidak membiarkan politik jalanan atau unsur luar mengeksploitasi perbezaan kaum, agama dan budaya sehingga mencetuskan konflik.
Beliau berkata, perpaduan rakyat pelbagai kaum perlu terus diperkukuh bagi memastikan generasi akan datang membesar dalam suasana aman, stabil, makmur dan bersatu padu serta berbangga menjadi rakyat Sarawak.
“Dalam sebuah keluarga, kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi ahli keluarga tidak boleh saling menyakiti, apatah lagi membiarkan orang lain memecah-belahkan keluarga ini,” katanya.

1 hour ago
7








English (US) ·