ADVERTISE HERE
SRI AMAN, 17 Sept: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) terus menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, program berkenaan memberi ruang kepada murid, keluarga dan masyarakat untuk berinteraksi serta memahami kepelbagaian kaum, agama dan budaya melalui pengalaman bersama.
“Apabila murid bermain, bertanding, berkarya dan bekerjasama, mereka belajar bahawa perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya bukan halangan untuk berdiri sebagai satu pasukan sebagai anak Sarawak dan rakyat Malaysia.
“Pendekatan pembelajaran melalui pengalaman atau experiential learning itu turut memberi nilai yang tidak semestinya diperoleh hanya melalui buku teks,” katanya ketika merasmikan Program RIMUP SK Tanjung Bijat 2026 hari ini.
Menurutnya, RIMUP membawa mesej bahawa perbezaan agama, bangsa dan latar belakang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup bersama dalam suasana harmoni.
Beliau berkata, penglibatan murid dalam pelbagai aktiviti secara bersama dapat membantu mereka memahami kepelbagaian menerusi pengalaman sebenar, selain membentuk nilai kerjasama dan saling menghormati.
Dalam era digital, beliau berkata, generasi muda perlu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai adab, empati, pemikiran kritis serta rasa tanggungjawab sebagai warganegara.
Beliau turut mengingatkan bahawa patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan kecintaan terhadap tanah air.
“Bangga menjadi anak Sarawak dan pada masa yang sama bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Saya berharap RIMUP terus menyemai perpaduan, membina karakter dan membentuk generasi masa depan yang matang, bertanggungjawab serta bersatu,” ujarnya.- TVS

9 hours ago
8








English (US) ·