SAR lelaki hilang di Kampung Fairy disambung esok

10 hours ago 7
ADVERTISE HERE

Bau, 17 Sept: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Kampung Fairy, Lorong 5, di sini ditangguhkan petang tadi selepas mangsa masih belum ditemui.

Mangsa, Clement Chimiet Condos dilaporkan hilang sejak jam 10 pagi semalam ketika berada di kebun milik keluarganya.

Jarak perjalanan dari rumah mangsa ke kebun berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit, manakala ahli keluarganya sebelum itu telah berusaha mencari di kawasan sekitar namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.25 tengah hari dan tiba di lokasi pada jam 12.31 tengah hari.

“Operasi SAR dimulakan pada jam 2 petang dengan pasukan dibahagikan kepada dua seksyen bagi meliputi kawasan sungai dan bukitan.

“Seksyen A di bahagian sungai melibatkan tiga anggota bomba dan tiga orang awam, diketuai PBT Shaifull Ismail Othman,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Seksyen B di bahagian bukitan melibatkan tiga anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 anggota polis dan dua orang awam, diketuai Ketua Balai BBP Bau, PKPgB Zainudin Ngatdemon.

Operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 5.30 petang berikutan keadaan semakin gelap dan mangsa masih belum ditemui.

Operasi SAR hari kedua akan disambung pada jam 6 pagi esok.

Bantuan anjing pengesan K9 JBPM turut dipohon dan operasi pengesanan dijangka bermula esok. -TVS

Read Entire Article