Sarawak Literature Festival 2026 angkat karya tempatan, sokong aspirasi miri ke arah bandar kesusasteraan UNESCO

3 hours ago 5
ADVERTISE HERE

MIRI, 18 September: Sarawak Literature Festival (SLF) 2026 bakal berlangsung selama lima hari dari 23 hingga 27 September ini di Miri, menghimpunkan penulis, penerbit, penggiat budaya dan masyarakat dalam usaha mengangkat kesusasteraan serta warisan tempatan.

Festival sulung anjuran Pustaka Negeri Sarawak itu turut menjadi platform untuk memperkukuh aspirasi Miri ke arah menyertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dalam bidang kesusasteraan.

Menurut kenyataan Pustaka Negeri Sarawak Miri, Stadium Tertutup Miri menjadi lokasi utama festival, manakala beberapa program terpilih turut berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, Miri dan Miri Handicraft Centre.

“SLF 2026 menggabungkan tiga pengisian utama iaitu Book Fair Festival, Book Authors Festival dan Festival Sarawakiana yang memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan penulis, meneroka karya tempatan serta mengenali warisan budaya Sarawak,” kata kenyataan itu hari ini.

Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 24 September, jam 2 petang di Stadium Tertutup Miri dan akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian Anugerah Perpustakaan Premier Sarawak bagi mengiktiraf kecemerlangan perpustakaan awam dan perpustakaan desa.

Festival turut menampilkan sesi bersama penulis, bual bicara buku, forum kesusasteraan, bengkel penulisan kreatif, aktiviti bercerita, program belia dan literasi komuniti.

Program Sarawakiana, persembahan kebudayaan, bengkel kraf tradisional, persembahan muzik dan puisi serta pertandingan cosplay turut melengkapkan pengisian festival.

Penganjur menyasarkan kehadiran antara 20,000 hingga 50,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran, sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan melalui bazar makanan, kraf tangan dan jualan buku.

Penganjuran SLF juga dihasratkan menjadi festival kesusasteraan tahunan yang berkembang di seluruh Sarawak, dengan Sibu dicadangkan sebagai lokasi penganjuran pada 2027, diikuti Kuching pada 2028.

Orang ramai khususnya warga Miri dan kawasan sekitar dialu-alukan untuk menyertai festival berkenaan bagi meneroka karya tempatan, bertemu penulis serta mengenali kepelbagaian warisan budaya Sarawak. – TVS

Read Entire Article