ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Sarawak merancang membangunkan tiga loji pembakaran sisa di kawasan utara, tengah dan selatan negeri bagi menjana tenaga dengan potensi kapasiti sehingga 1,330 megawatt (MW).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata pembangunan loji berkenaan akan disokong pusat pengumpulan satelit bagi memastikan sisa dari kawasan sekitar dikumpul dan disalurkan secara lebih sistematik.
“Seperti yang anda dapat lihat, jumlah tenaga yang berpotensi untuk kita hasilkan ini adalah melalui proses pembakaran.
“Daripada sisa perbandaran, sisa kayu, biojisim, sisa haiwan, sisa industri, termasuk mesin-mesin anda dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian BidMyAsset Borneo di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja berpotensi menghasilkan sumber tenaga baharu, malah membantu menangani isu pengurusan sisa di Sarawak.
Katanya, usaha itu selari dengan agenda ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar negeri, selain berpotensi mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang menuju ke arah penguatkuasaan dasar berkaitan pengurusan sisa kepada tenaga, termasuk cadangan pelaksanaan ordinan baharu tahun depan.
“Komitmen kerajaan terhadap ekosistem ini amat teguh. Kita akan terus mewujudkan persekitaran dasar, kejelasan peraturan dan sokongan institusi yang diperlukan oleh perniagaan untuk beroperasi serta melabur di sini dengan penuh keyakinan,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan tenaga daripada sisa berpotensi menjadi sebahagian daripada usaha Sarawak memperkukuh keselamatan tenaga serta menggalakkan penggunaan sumber secara lebih mampan.
“Pelaksanaan inisiatif ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan lebih besar dalam sistem pengurusan sisa dan tenaga negeri,” katanya.

11 hours ago
10








English (US) ·