Sukan SEA 2027: Fasiliti siap sepenuhnya menjelang Mac tahun depan – Mordi

4 hours ago 9
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA, 18 Sept: Keseluruhan fasiliti bagi penganjuran Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027 dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac tahun depan, dengan persiapan ketika ini mencapai sekitar 40 peratus.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimal berkata, baki persiapan akan diteruskan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan bersedia sebelum temasya bermula.

“Dari segi fasiliti, ketika ini persiapan berada pada sekitar 40 peratus dan kita menjangkakan semuanya akan siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun depan, iaitu sekitar Mac.

“Selepas siap, kita akan menjalankan ujian bagi memastikan semua fasiliti ini boleh berfungsi seperti yang sepatutnya supaya tiada masalah pada hari sebenar Sukan SEA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Sambutan Kiraan Detik Satu (1) Tahun Menuju Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 Tahun 2027, di sini, hari ini.

Menurut Mordi, ujian terhadap kemudahan yang siap akan dilakukan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan lebih awal dan membolehkan tindakan pembaikan dibuat sebelum temasya berlangsung.

Katanya, persiapan turut merangkumi aspek operasi dan kemudahan bagi memastikan keperluan penganjuran dapat dipenuhi apabila temasya bermula.

Dalam pada itu, Mordi berkata, keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini tidak menjejaskan persiapan penganjuran kedua-dua temasya berkenaan.

“Memang jerebu agak teruk sekarang, tetapi dari segi persiapan tidak ada masalah. Kita juga telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan jika berlaku jerebu pada masa tersebut, kita sudah tahu apa tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Mordi berkata kebajikan atlet turut diberi perhatian termasuk dari segi penyediaan penginapan yang akan ditempatkan di hotel dan bukan kolej atau hostel.

Beliau berkata, sambutan kiraan detik 365 hari menuju temasya itu menjadi antara usaha untuk membina momentum serta keterujaan rakyat terhadap penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Malaysia.

Katanya, usaha berkenaan selaras dengan tema “Meraikan Perpaduan” yang membawa mesej penyatuan masyarakat menerusi sukan. – TVS

Read Entire Article