ADVERTISE HERE
KUCHING, 18 Sept: Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 akan menyediakan khidmat penterjemah serta pegawai penghubung bagi membantu kontinjen negara lain yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata khidmat berkenaan penting bagi memastikan setiap kontinjen mendapat bantuan dan panduan sepanjang penyertaan mereka pada temasya sukan berkenaan.
“Sudah tentu kita perlu menyediakan penterjemah kerana terdapat beberapa negara di Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
“Pegawai penghubung yang akan mengurus dan menjaga setiap kontinjen juga akan berada di situ untuk membantu dan membimbing mereka,” katanya selepas merasmikan majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Kompleks Sukan Sarawak bukan sahaja akan menjadi antara lokasi utama acara sukan, malah turut menampilkan elemen festival termasuk Malaysian Kitchen serta jualan produk dan barangan.
Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang Sukan SEA selain memberikan peluang kepada usahawan mempamerkan dan menjual produk serta barangan mereka.
“Pembangunan International Broadcasting Centre (IBC) yang terletak bersebelahan dengan bangunan Baitulmakmur juga berjalan lancar dan difahamkan lebih awal daripada jadual.
“Kita fokus kepada perkara ini supaya data dan maklumat mudah disalurkan kepada negara-negara terlibat kerana mereka juga mahu melihat apa yang berlaku setiap masa,” katanya.
Sukan SEA ke-34 akan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept 2027. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·