ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Julai: Suruhanjaya Koperasi Malaysia digesa mempermudahkan proses kelulusan pendaftaran koperasi di Sarawak.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Roland Engan berkata, terdapat keluhan daripada pemohon-pemohon tertentu bahawa terdapat kelewatan.
Katanya, kelewatan yang tidak munasabah untuk kelulusan sijil pendaftaran berlaku setelah permohonan diserahkan ke pejabat cawangan tertentu.
“Secara khusus, saya terlibat “follow-up” pendaftaran suatu koperasi untuk penduduk Baram, Miri.
“Sijil pendaftaran masih belum sampai di pejabat Cawangan Miri sedangkan sijil tersebut telah diterima lebih hampir sebulan yang lalu oleh pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Roland menyeru pihak berwajib untuk mengambil langkah-langkah segera.
“Permudahkan segala urusan permohonan dan kelulusan serta penyerahan sijil pendaftaran koperasi demi kebaikan rakyat,” katanya. — DayakDaily