Taiyo Yuden rancang perluas kilang di Sama Jaya

8 hours ago 12
ADVERTISE HERE

KUCHING, 18 Sept: Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd merancang memperluaskan kilang pengeluaran kapasitor cip seramik berbilang lapisan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, dengan projek itu disasarkan siap pada Oktober 2028.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED) cadangan berkenaan dikemukakan ketika kunjungan hormat syarikat itu kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, semalam.

Kunjungan hormat itu diketuai Presiden Kelab Jepun Kuching, Sakai Kazue, bersama Pengarah Taiyo Yuden Sarawak, Shinozaki Yoshihiko.

Menurut kenyataan media itu, pengembangan berkenaan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuh pembangunan modal insan serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Pelaburan berkenaan juga mencerminkan keyakinan Taiyo Yuden terhadap Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik.

Awang Tengah turut menghargai komitmen berterusan Taiyo Yuden terhadap Sarawak sejak 1994 apabila syarikat itu memulakan pengeluaran komersial gegelung teras, kapasitor cip seramik berbilang lapisan dan elemen kapasitor cip seramik berbilang lapisan.

Beliau menegaskan sokongan Kerajaan Sarawak terhadap pengembangan berterusan syarikat berkenaan serta mengiktiraf peranannya dalam memperkukuh ekosistem perindustrian negeri.-TVS

Read Entire Article