ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR: Para pemaju, arkitek, perancang dan pembuat dasar digesa agar memastikan setiap projek pembangunan yang mereka laksanakan dilengkapi nilai budaya yang bersemangat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kepelbagaian dan kekayaan warisan budaya adalah perkara yang perlu dipertimbang sewaktu perancangan serta pembinaan sebarang pembangunan.
“Kelompok Orang Asli, Melayu, Cina serta India adalah sebahagian daripada masyarakat di negara ini dan jika anda lihat di Sabah dan Sarawak, anda akan menyaksikan kehebatan nilai budaya yang bersemangat dalam kalangan etnik Dayak, Kadazan serta Murut. Adalah sesuatu yang memalukan jika kita tidak berusaha untuk menampilkan ciri-ciri ini sama ada ketika perancangan, rekaan atau pembinaan.
“Jadi adalah penting untuk memastikan ia bersemangat dari segi budaya, moden dari segi teknologi namun mesra alam sekitar dengan mengambil kira keperluan semua sektor supaya anda tidak mengulangi kisah A Tale of Two Cities - satu sektor bagi golongan kaya, satu sektor bagi golongan miskin,“ katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) serta Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Pembinaan Antarabangsa ke-23 (ARCHIDEX) 2024 di sini hari ini.